Thursday 3 May 2018

SEJARAH RINGKAS TAMAN KOSAS

SEJARAH RINGKAS TAMAN KOSAS, AMPANG, SELANGOR

  Taman Kosas, Ampang, Selangor yang terletak dalam Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Daerah Hulu Langat adalah salah sebuah projek perumahan milik Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor atau KOSAS yang dimajukan oleh syarikat Metroplex. Taman ini mempunyai tiga fasa dengan rumah-rumah teres setingkat dan dua tingkat, rumah-rumah pangsa, kondominium, apartment dan deretan rumah-rumah kedai. Terdapat sebuah sekolah rendah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah kebangsaan di taman ini serta sebuah masjid yang mula dibina pada tahun 2006/2007 dan siap pada Mac 2008 diberi nama Masjid Taman Kosas dan sebuah Surau Jumaat yang dibina sebelum wujudnya Masjid di Taman ini. Terdapat juga sebuah tanah perkuburan Islam yang wujud lebih awal dari dari Taman ini.
 
  Taman Kosas mula diduduki secara berperingkat-peringkat mulai tahun 1990an hingga penghujung tahun 1991 yang didiami oleh berbagai kaum. Taman ini bersempadan dengan sungai Ampang di sebelah barat yang bertemu dengan Sungai Klang di Kuala Ampang dan Taman Ampang Indah di sebelah timur.
     
  Penduduk Taman Kosas terdiri daripada kakitangan kerajaan, pekerja swasta dan peniaga yang menikmati kemudahan seperti Hospital dan Klinik Kerajaan dan swasta, perbankan, Tabung Haji, pasar dan pasaraya, station minyak, station LRT Ampang serta dihubungi dengan lebuh raya AKLEH (Ampang/KL Elevated Highway) dan DUKE (Duta Ulu Klang Expressway) dan bakal dihubungi dengan lebuh raya SUKE (Sungai Besi Ulu Klang Express). Taman ini juga adalah laluan bekalan air projek Langat 2 dan juga projek pembentungan berpusat.
  Dari segi hubungan sosial, Taman Kosas mempunyai sebuah Badan Kebajikan Penduduk Taman Kosas Fasa 2, Persatuan Penduduk Taman Kosas Fasa 3 (PETAK) yang ditubuhkan pada tahun 1991, Persatuan Penduduk Flat Taman Kosas, Badan Khairat Kematian (BAKTISAS) yang bernaong di bawah Masjid Taman Kosas dan Badan Khairat Kematian Fasa 2 Taman Kosas. 
  Fasa-fasa di Taman ini berpandu kepada tanda-tanda jalan di sekitar taman ini iaitu Fasa 1 dengan tanda Jalan Kosas 1/, Fasa 2 dengan tanda Jalan Kosas 2/ dan Fasa 3 dengan tanda Jalan Kosas 3/ manakala Taman ini dihubungi oleh Jalan Kosas Utama dengan Jalan Lembah Jaya yang juga dikenali sebagai Jalan Bukit Belacan/Jalan Ampang.
     
     
     
     

TARIKH: 3.5.2018 Disediakan oleh Hj Izhar B Hj Harun Penasihat Persatuan Penduduk Taman Kosas Fasa 3(PETAK) Ampang, Selangor

(Catatan ini sekadar sejarah ringkas Taman Kosas, Ampang tertakluk kepada kesahihan maklumat yang sebenar. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat-maklumat yang lebih tepat mengenai catatan ini boleh membuat penambahbaikan sewajarnya)