AKHBAR / NEWSPAPER | : | KOSMO | SEKSYEN / SECTION | : |
TARIKH / DATE | : | 11-Apr-2006 | HARI / DAY | : SELASA (TUE) |
ISU / ISSUE | : | KERAJAAN TEMPATAN | MUKA SURAT / PAGE | : 14 |
TAJUK / TITLE | : | Bencana tanah runtuh depan mata |
|
|
AMPANG - Setiap detik mengundang bencana! Itu ketakutan penduduk di Jalan 3/1 Taman Kosas tiap kali hujan lebat dan tidur lena mereka sering terganggu sejak kebelakangan ini. Ini semua gara-gara dihimpit kebimbangan kerana khuatir berlaku tanah runtuh di tebing tanah Sungai Ampang. Tebing sungai yang kini teruk terhakis itu mungkin melanda rumah mereka suatu hari nanti jika tiada tindakan segera pihak berkuasa tempatan (PBT). Tinjauan KOSMO! semalam mendapati tebing sungai tersebut semakin menghampiri kediaman penduduk di situ dan nyawa mereka seperti 'telur di hujung tanduk' ada kebenarannya. Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kosas Fasa 3, Izhar Harun, 57, kebimbangan yang dialami penduduk di situ telah diutarakan kepada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), namun jawapan yang mereka terima mengecewakan. "MPAJ mengatakan bahawa mereka tidak bertanggungjawab dan menyuruh kami rujuk kepaaa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). "Saya harap tindakan segera dapat diambil sebelum perkara yang tidak diingini berlaku," katanya. Seorang suri rumah, Zaiton Ghani, 47, bimbang keselamatan kanak-kanak yang bermain di hadapan rumah kerana ia tidak lagi selamat seperti dulu. Pada masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Lembah Jaya, Datuk Ismail Kijo yang bergegas berkata, parit berbentuk L akan dibina sepanjang 800 meter menelan belanja sebanyak RM7 juta bagi memudahkan dan melancarkan pengaliran air sungai dan parit ketika hujan. Peruntukan sebanyak RM24 juta diberikan bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf beberapa kawasan kritikal di Sungai Ampang termasuk kawasan Taman Kosas pada masa depan. |